Sunday 6 November 2011

ROMI

Romi....Anak kecil yang baru berusia sepuluh tahun.Ibunya orang asli manakala bapanya warga Indonesia.Semasa lawatan ke Perkampungan Orang Asal di Persimpangan Felda Krau,ketika kami tiba di sana ramai kanak-kanak  berlari-lari ke arah kenderaan yang kami naiki.Termasuklah Romi yang turut menyambut mesra kedatangan kami.Kami membawa sedikit buah tangan termasuklah baju yang masih baru.Bukan yang buruk..Sayu hati ini apabila kebanyakan yang memberi baju yang sudah lusuh,koyak dan tidak layak dipakai lagi.

Kali kedua kami berkunjung ke sini,barulah dapat berbual dengan Romi.Romi sebagaimana yang diperkenalkan tadi,kacukan Asli-Indonesia petah bicaranya dan gayanya cukup jelas memaparkan dia seorang yang tidak keanak-anakan walaupun baru berusia sepuluh tahun.Sungguh matang tingkah dan bicaranya.Tapi sayangnya anak ini tidak meneruskan persekolahannya.Hanya belajar sehingga Darjah 4.Katanya sudah cukup menuntut ilmu.Tidak perlu bersusah-payah menimba lagi.Apabila ditanya apa perancangan masa hadapan,katanya menoreh getah,kerja di kebun kelapa sawit.Katanya lagi mereka ada kebun kepunyaan sendiri.

Kasihan sungguh anak ini tidak mengerti apa itu realiti kehidupan yang sebenar.Hak-hak orang asli sewenang-wenangnya diambil pihak yang tidak bertanggungjawab(pihak yang tidak mempunyai timbang rasa dan perikemanusiaan).Contohnya kebun koko dan durian kepunyaan mereka dicerobohi mereka yang tidak menghormati hak orang asli.Apakah kebun getah kepunyaan sendiri yang dikatakan Romi mampu menjamin kesejahteraan masa hadapannya?

Sama-samalah kita memohon ke hadrat ilahi supaya segala yang dihajati Romi tidak menjadi angan-angan Mat Jenin.Umpama mimpi di siang hari.

Nukilan,
AMANDA
(Setiausaha Peribadi Timbalan Ketua Raub)

No comments:

Post a Comment